Sunday, July 15, 2012

۞ Penyakit Waswas ۞


Waswas berasal daripada bahasa Arab "Waswasa" "Yuwaswisu" yang bererti membisik jahat, manakala perkataan "Was waa sun" bermakna bisikan syaitan atau apa-apa sahaja yang berlaku dalam diri manusia, amalan keji dan tiada kebaikan padanya.Perkataan tersebut khilaf(berlawanan) dengan ilham yang mencetuskan kebaikan.

 Waswas bukan setakat menyerang semasa berwuduk dan solat, bahkan dalam semua ibadah lain seperti puasa, haji, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Lebih parah lagi, serangan waswas dalam bab aqidah.Namun semua itu ada jalan penyelesaiannya.

 Sememangnya syaitan merupakan agen pembawa bisikan dan penyakit waswas. Menurut perubatan moden, penyakit ini dipanggil Obsessive Compulsive Disorder(OCD) dab tergolong dalam kumpulan penyakit kerisauan(anxiety disorder). Teori di belakang penyakit ini ialah ketidakseimbangan bahan kimia dalam badan.



 Penjelasan al-Quran berkaitan dengan penyakit waswas adalah seperti firman Allah SubhanAllah Ta'ala  yang bermaksud :

"Setelah itu maka syaitan membisikkan(hasutan) kepada mereka berdua(Adam dan Hawa) supaya (dapatlah) syaitan menampakkan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup daripada pandangan mereka.."(surah al-A'raf:ayat 20)

Allah juga berfirman yang bermaksud:

"Dan demi sesungguhnya, Kami menciptakan manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.."(Surah Qaf:ayat 16)

Tip dan Amalan Untuk Mengatasi Penyakit Waswas.


  •   Berikhtiar dengan sabar dan solat ialah formula daripada Allah  dalam usaha memohon pertolongan. Pastikan segala syarat solat diterima ditekankan di samping meningkatkan kesabaran dan beristiqamah dalam mengerjakannya.



  •  Memohon perlindungan daripada hasutan syaitan setiap kali hendak memulakan ibadah seperti anjuran Allah SubhanAllah kepada Baginda Shallallahu 'Alaihi Wasallam  dalam firmanNya yang bermaksud:


" Dan katakanlah, wahai Tuhanku aku berlindung kepadaMu daripada hasutan syaitan-syaitan."(suratul Mu'minun:97)



 Uthman bin Abi Al-'Ash pernah mengadu kepada Rasulullah  Shallallahu 'Alaihi Wasallam tentang syaitan yang menganggunya ketika solat dan Baginda Shallallahu 'Alaihi Wasallam  bersabda:

"Itulah syaitan yang bernama Khinzib. Jika kamu merasakannya mohonlah perlindungan kepada Allah daripadanya ('Azubillahi minay syaitonirrajiim) dan tiuplah ke arah kirimu tiga kali."

Dia(Uthman) berkata:"Aku pun mengamalkannya dan Allah telah menghilangkannya daripadaku."(Hadis Riwayat Muslim)

 Lakukan dengan penuh penghayatan, semat dan pasakkan maknanya sekukuh-kukuhnya dalam hati dan fikiran. Godaan dan bisikan syaitanlah yang menjadikan punca-punca yang lain turut menjelma dan penyebab kepada penghidap waswas, walaupun sudah menuntut ilmu agama. Oleh itu, usaha untuk menggagalkan misi syaitan hendaklah dipandang serius kerana kejayaan mengawasi syaitan akan menutup semua jalan waswas.

 Sekiranya gagal dalam usaha ini, cuba dapatkan perubatan alternatif daripada mereka yang mahir dalam bidang perubatan jin dan yang berkaitan dengannya ataupun orang soleh dan warak. Kadang-kadang jin atau saka juga boleh mempengaruhi penyakit ini.


  •  Seimbangkan perasaan takut(khauf) dan harap(raja'). Takut yang keterlaluan dalam amalan dan ibadah tidak diterima oleh Allah adalah salah satu punca waswas. Seharusnya dalam semua amalan, perasaan mengharap agar amalan diterima oleh Allah  dan pada masa yang sama miliki rasa ketakutan jika amalan akan ditolak oleh Allah  setelah ditunaikan dengan sempurna menurut pelaksanaan sahih.



  •  Dalami permasalahan fiqah dengan bertanya kepada ustaz. Pastikan pemahaman yang tepat bukan sekadar dengan membaca kitab tetapi tanyalah kepada ustaz sehingga beroleh kefahaman yang sahih lagi jelas tanpa sebarang keraguan.


 Sebagai contoh, kes yang kerap melanda meraka yang waswas adalah soal niat. Waswas dalam niat menyebabkan seseorang itu mengambil masa yang terlalu lama semasa takbiratul ihram.

 Secara ilmiahnya, niat bukan sesuatu yang payah malahan amat mudah. Niat solat semasa takbiratul ihram adalah ketika melafazkan "Allahu Akbar", dengan sekadar niat dalam hati sahaja. Adapun lafaz niat itu hanyalah sunat.

 Sememangnya banyak lagi tip dan amalan yang boleh menghapuskan penyakit waswas. Mudah-mudahan beberapa tip dan kaedah yang dikemukakan di atas boleh menjadi asbab hilangnya penyakit waswas.

 Sekiranya masih gagal, disyorkan supaya berjumpa kaunselor atau ahli psikologi kerana kemungkinan penyakit ini berpunca daripada masalah genetik atau masalah peribadi yang dihadapi dalam kehidupan. Bersabar dengan ujian tanpa berputus asa malahan redha dengan takdirNya amat disukai Allah .

[Oleh:Ustaz Syed Mohd Fazli al-Yamani,Majalah Solusi 30]

No comments:

Post a Comment